Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (SURAH AT TAHRIIM - AYAT 8)

Wednesday, 27 July 2011


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

HAJI WAJIB SEKALI SEUMUR HIDUP

IBADAT haji boleh dikerjakan berulang kali bagi mereka yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syaratnya. Walau bagaimanapun menurut ulama, ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup berdasarkan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu yang maksudnya :
"Telah berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam khutbah Baginda : "Wahai sekalian manusia, Allah Subhanahu Wataala telah mewajibkan kepada kamu ibadat haji, oleh kerana itu kamu kerjakanlah haji," seorang lelaki bertanya : "Adakah (dikerjakan haji) pada setiap tahun?" Baginda diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali, selepas itu baru Baginda menjawab dan bersabda : "Jika aku katakan "ya", nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berdaya melakukannya." - (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).
Berdasarkan hadis di atas, ulama sepakat mengatakan bahawa ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup dan jika dikerjakan berulang kali maka haji yang kedua dan seterusnya itu dikira sebagai sunat.
Ulama juga sepakat bahawa ibadat haji itu tidak wajib dikerjakan dengan bersegera. Walau bagaimanapun sunat tidak melambatkan ibadat tersebut bagi orang-orang yang mempunyai kemampuan dan telah cukup syarat-syarat yang diwajibkan kepada mereka. Bersegera dalam membuat amal kebajikan itu suatu perkara yang dituntut sebagaimana Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya :
"Oleh itu berlumba-lumbalah (bersegera) kamu membuat amal kebajikan (beriman dan beramal salih). - (Surah Al-Maaidah : 48).

MENGETAHUI SYARAT-SYARAT WAJIB HAJI

Ibadat haji wajib dikerjakan oleh orang Islam yang cukup syarat dan berkemampuan sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan Al-Sunnah.
Bagi mereka yang berhajat menunaikan ibadat haji, persediaan yang harus dibuat ialah memastikan sama ada mereka telah mempunyai syarat-syarat yang cukup dan berkemampuan atau sebaliknya. Dengan memenuhi syarat-syarat tersebut dia diwajibkan dan dituntut menunaikan ibadat haji, tetapi tanpa salah satu daripada syarat-syarat itu, maka dia tidak wajib menunaikannya. Di antara syarat-syarat yang wajib menunaikan haji itu ialah hendaklah dia seorang Islam, baligh dan berakal, merdeka dan berkemampuan dari segi kesihatan badan dan mempunyai harta dan keselamatan dalam perjalanan menuju ke Mekah.
Menurut ulama, orang kafir tidak wajib dan tidak sah mengerjakan ibadat haji. Tetapi wajib pula haji itu ke atas orang murtad sekalipun tidak sah kecuali dia masuk Islam. Ibadat haji juga tidak wajib ke atas kanak-kanak dan orang gila kerana mereka tidak dituntut mengerjakannya. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mumaiz tetapi belum baligh, jika dia mengerjakan ibadat haji, hajinya tetap sah dan dikira sebagai haji sunat. Hal ini berdasarkan riwayat Ibn Abbas, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Apabila kanak-kanak itu mengerjakan haji, maka baginya (dia mendapat) haji itu sehingga dia berakal, dan apabila dia telah berakal maka ke atasnya (wajib) haji yang lain." - (Hadis riwayat Al-Hakim).
Haji kanak-kanak yang mumaiz atau yang belum mumaiz hendaklah diniatkan hajinya oleh wali sama ada bapa atau datuknya, sekalipun bapa atau datuknya itu belum berihram atau belum pernah melakukan haji, dengan niat ‘Aku berihram bagi si polan." Bagi kanak-kanak yang mumaiz tidak harus berihram kecuali dengan izin walinya.
Begitu juga kanak-kanak yang belum mumaiz segala perbuatan hajinya hendaklah dibuat bersama walinya iaitu dia melakukan tawaf dan sa’ie dengan walinya dan wajib ke atas kanak-kanak tersebut bersih dan menutup aurat sekalipun tidak disyaratkan suci daripada hadas (berwuduk).
Kesimpulannya, kanak-kanak tersebut hendaklah dibawa hadir ke setiap tempat ibadat haji seperti dibawa kanak-kanak itu melakukan tawaf dan sa’ie dan sebagainya, iaitu sesudah walinya itu melakukan tawaf dan sa’ie bagi dirinya sendiri.
Begitu juga jika kanak-kanak itu tidak boleh melakukan lontaran jamrah, maka wali akan melakukannya sebagai wakil seperti melontar jamrah Al-’Aqabah, jika kanak-kanak itu tidak berdaya adalah sunat (mustahab) wali itu meletakkan batu pada tangan kanak-kanak tersebut dan melontar bersamanya, iaitu setelah si wali melontar jamrah tersebut bagi dirinya sendiri.
Dalam keadaan tersebut harus bagi wali itu memberi izin kepada orang lain membawa kanak-kanak itu dan menunaikan ibadat haji bersama kanak-kanak tersebut.
Menurut ulama menunaikan haji setelah mempunyai kemampuan harta, kesihatan tubuh badan dan keselamatan merupakan syarat yang wajib bagi mereka yang menunaikan haji, berdasarkan ayat Al-Quran yang tafsirnya :
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya." - (Surah Ali ‘Imran : 97).
Ulama Syafi’eyah mensyaratkan istitha’ah yang disebutkan itu adalah bagi orang-orang yang berada di luar dari Kota Mekah, yang jauhnya kira-kira 89 kilometer. Di antara istitha’ah itu termasuklah : 1. Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik dan semasa menunaikan fardu haji dan cukup untuk sara hidup dan nafkah bagi orang-orang di bawah tanggungannya yang ditinggalkan.
2. Mempunyai bekalan seperti air di tempat-tempat perhentian dengan harga yang berpatutan menurut keadaan tempat dan masa.
3. Mempunyai kenderaan, sama ada dengan dibeli atau disewa jika jauh perjalanan ke Mekah itu melebihi dua marhalah (89 kilometer). 4. Hendaklah aman dan selamat dalam perjalanan daripada bahaya ke atas dirinya, hartanya dan kehormatannya serta orang-orang yang bersama-samanya.
5. Sihat tubuh badan dan tidak menghadapi kepayahan ketika dalam perjalanan iaitu berkuasa menghadapi sebarang kesukaran dalam perjalanan, seperti orang buta dikehendaki membawa pembantunya ketika dalam perjalanan.
6. Mempunyai masa dan kesempatan bagi menunaikan fardu haji.
7. Bagi orang perempuan hendaklah ditemani oleh suaminya atau mahramnya atau perempuan-perempuan lain yang dipercayainya.
Berdasarkan syarat-syarat di atas, adalah wajib bagi mereka yang mempunyai kemampuan seperti harta, kesihatan dan keselamatan menunaikan ibadat haji ke Mekah. Bagi mereka yang telah mempunyai kemampuan dan kecukupan untuk berhaji adalah lebih utama dilaksanakan ibadat tersebut sebelum datang perkara yang akan menghalanginya, kerana Islam sangat menggalakkan umatnya bersegera dalam membuat sebarang alam kebajikan, lebih-lebih lagi ibadat yang dituntut dan diwajibkan. Hal tersebut dijelaskan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melalui sabdanya yang maksudnya :
"Allah Azzawajalla berfirman : "Sesungguhnya Aku memberikan kesihatan badan kepada seseorang hamba dan Aku memberikan keluasan (rezeki) dalam kehidupannya sehingga berlalu lima tahun, dia tidak akan kembali kepada-Ku dalam keadaan dia telah berihram (telah menunaikan hajinya)." - (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi).