Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (SURAH AT TAHRIIM - AYAT 8)

Wednesday, 27 July 2011

MERAMAL GUNA HOROSKOP HARAM
MEMBACA HOROSKOP SOLAT TAK DITERIMA 40 HARI

Mengetahui karakter seseorang melalui tarikh lahir adalah bercanggah dengan ajaran al-Quran dan hadis nabi saw seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama. Antara hujah yang digunakan ialah:

1) Maksud firman Allah swt: Katakanlah "Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.” Al-Naml – 65


2) Maksud firman Allah swt: Katakanlah: “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. dan sekiranya Aku mengetahui yang ghaib, tentulah Aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya

dan Aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. Al-A`raf-188
3) Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang berjumpa dengan tukang tilik lalu bertanya tentang sesuatu tidak diterima solatnya 40 hari "(Riwayat Muslim)

4) Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang berjumpa dengan tukang tilik atau ahli sihir atau ahli agama bukan Islam lalu beriman dengan tilikannya sesungguhnya ia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. "(Riwayat at-Tabarani daripada Ibnu Mas’ud dan perawinya adalah thiqah).

Ramalan Horoskop (Horoscope) DIPERCAYAI KONONNYA yang dapat menentukan ramalan personaliti seseorang, sifat peribadi dan ramalan nasib bulan-bulan dalam kehidupannya. Misalnya bagi mereka yang lahir di dalam bulan Oktober pada hari 24 sehingga 22 November merupakan mereka yang dilabelkan dengan bintang SCORPIO dan mempunyai personaliti serta peribadi ramalan tertentu.
Ramalan sebegini membawa kepada syirik dan hukum mempercayainya ialah haram dan berdosa. Telah diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas ra Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

Sesiapa yang mengambil sebahagian dari ilmu bintang (nujum) maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian dari ilmu sihir yang setiap kali bertambah ilmu bintangnya (berkaitan ramalan) maka bertambah pulalah ilmu sihirnya . (hadith sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ahmad).

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.