Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (SURAH AT TAHRIIM - AYAT 8)

Sunday, 17 July 2011

“SYIRIK & KURAFAT”
Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada ajaran dan kesucian agama Islam, marilah sama- sama kita menjauhkan diri daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat. Mungkin segala ajaran dan fahaman yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada ajaran dan bisikan puak-puak Jin dan Syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan di redai oleh Allah. Semoga Allah melindungi kita semua daripada terjerumus ke dalam perangkap puak-puak tersebut.
Sebagai seorang Islam di tegah daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan para Jin samada Jin Islam maupun Jin kafir kerana keburukannya lebih banyak jika dibandingkan dengan kebaikan yang akan kita perolehi. Jin akan sentiasa merasuk dan mendorong manusia supaya melakukan kejahatan dan maksiat tanpa kita sedari.
Sesungguhnya ramai orang yang bersahabat dengan Jin akan menjadi takbur dan sombong dengan kelebihan yang dimilikinya itu. Sifat takbur merupakan salah satu sifat yang paling di murkai oleh Allah dan akan dimasukkan ke dalam Neraka seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran dan Hadis RasulNya.
Syeikh Muhyuddin Arabi dalam kitabnya Futuhat menjelaskan : “ Adalah orang yang bersekedudukan ( bersahabat ) dengan Jin itu tidak beroleh ilmu kerana Allah. Kerana Jin itu sangat jahil akan Allah dan sifat-sifatNya.
Menurut Sheikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani dalam kitabnya Yawaqitu Wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekedudukan dengan Jin itu sangat keji. Katanya lagi “ Barang siapa memilih dan melebihkan sekedudukan dengan Jin daripada bersekedudukan dengan ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana yang lebih biasa bagi Jin itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan manusia yang fasik. Maka orang yang berakal lari ia daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan Jin, seperti larinya daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan manusia yang fasik.”
Jin, Ifrit, Syaitan dan Iblis adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah.
Jin boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia dengan berbagai-bagai cara dan manusia yang mengunakan khidmat Jin untuk melakukan pengkhianatan kepada manusia lain pun melalui berbagai cara. Sebagaimana sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Sayidah Syafiyyah binti Huyay , bahawa Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya : “ Sesungguhnya Syaitan ( Jin ) itu berjalan dalam tubuh anak Adam sebagaimana darah yang mengalir dalam tubuhnya “.
Jin juga dapat menguasai manusia sehingga ia dapat menimbulkan perkelahian sesama manusia, manusia kehilangan ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi.
Apabila telah memasuki badan manusia, walau dengan apa cara sekali pun Jin tersebut akan mendiami salah satu tempat berikut di anggota tubuh badan manusia. ( walaupun mereka bebas bergerak-gerak dalam badan manusia ) Antara tempat-tempat tersebut ialah :-
1. Mereka berkumpul di mata kanan dan kiri. Sebab itulah jika seseorang itu membela atau telah dimasuki Jin dalam badan mereka, mereka tidak berani bertentang mata dengan orang lain.
2. Berada di telinga kanan dan kiri, dengan itu manusia yang telah terasuk Jin tidak suka mendengar nasihat dan teguran yang baik serta amat suka mendengar perkara-perkara maksiat seperti muzik yang melalaikan dan sebagainya.
3. Berada di mulut manusia, dengan itu manusia yang telah di masuki Jin amat suka bercakap benda-benda yang tidak berfaedah dan mendatangkan dosa seperti mengumpat, melaga-lagakan manusia lain dan sebagainya.
4. Berada di hidung manusia, menyebabkan manusia suka menghidu benda-benda yang tidak elok dan boleh merosakkan diri manusia sendiri.
5. Berada di ari-ari ( pusat ), menyebabkan orang tersebut sentiasa mengalami sakit dalam perut dan pelbagai penyakit yang tidak boleh di kesan oleh doktor
6. Berada di kemaluan manusia, menyebabkan manusia suka melakukan perkara-perkara maksiat seperti berzina dan sebagainya.
Manusia yang selamat dari ganguaan Jin , Iblis dan Syaitan adalah manusia yang sentiasa berada dalam Tauhid ( mengesakan ) Allah, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah serta beramal dengan syariat Islam. Jalan paling dekat untuk berada dalam tauhid Allah ialah dengan kita mengambil contoh perbuatan dan kelakuan mereka yang setiap waktu dan masa berada dalam Tauhid Allah, seperti Nabi Muhammad, sahabat-sahabat baginda, para ulama dan sebagainya. Dengan itu Insyaalah akan menyampaikan diri kita zahir dan batin berada dalam tauhid Allah di semua tempat, waktu dan masa melalui anggota, lidah dan hati sebagaimana mereka, iaitu selamat daripada gangguan para Jin, Iblis dan Syaitan atau seumpamanya.